PETALING JAYA – Kerajaan Madani berjaya menurunkan hutang dalam dan luar negara yang diwarisi daripada RM100 bilion pada 2022 kepada RM93 bilion tahun lalu.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hutang dalam dan luar negara seterusnya berjaya dikurangkan kepada RM84 bilion tahun ini.
“Saya lihat dalam media sosial kita (Kerajaan Madani) diserang, tetapi fakta itu tidak benar. Saya telah jelaskan ada hutang yang kita warisi yang mencecah lebih RM1 trilion malah mencecah RM1.5 trilion dan memang komitmen kita untuk mengurangkan hutang dan ini kita lakukan.
“Umpamanya tahun 2021, 2022 kita berhutang dari luar dan dalam RM100 bilion. Kita ambil alih tahun 2023 kita beritahu keadaan ini tidak boleh kita pertahankan dengan hutang yang berlonggok dan bertambah.
“Makanya kita turunkan hutang ke RM93 bilion daripada RM100 bilion tahun sebelumnya. Tahun 2024 (turun kepada) RM86 bilion. Kuranglah maknanya itu daripada RM100 bilion kepada RM93 bilion kepada RM86 bilion,” katanya dalam satu rakaman video hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada dakwaan di media sosial Kerajaan Madani tidak memberi kenyataan yang benar mengenai hutang negara dan memungkiri janji untuk menurunkannya.
Anwar menegaskan, kerajaan tidak boleh terus membatalkan semua hutang tersebut kerana akan menjejaskan projek-projek untuk membantu rakyat seperti pembinaan sekolah baharu dan universiti.
Menurut beliau, kerajaan juga tidak tidak boleh terus membatalkan semua hutang tersebut kerana akan menjejaskan pembangunan negara termasuk tanggungjawab untuk membayar hutang-hutang lama.
Kata beliau, tanggungan itu adalah tinggi iaitu 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan ia tidak membantu untuk menambat keyakinan pelabur asing atau domestik.
“Sasaran kita adalah secara berperingkat menurun kepada sekurang-kurangnya 60 peratus dan ini ada kaitan dengan defisit. Dulu defisit belanjawan maknanya pendapatan kurang, belanja lebih. Dulu mencecah hingga enam peratus dan pada tahun 2023 turun kepada lima peratus.
“Pendapatan kurang, belanja lebih ini yang kita warisi. Sama macam berhutang, kalau kita turunkan secara mengejut dan drastik akan memberi kesan daripada segi projek sedia ada dijalankan, projek-projek membantu rakyat dan juga projek pembangunan.
“Jadi kita turunkan secara berperingkat daripada 5.5 peratus defisit kepada lima peratus. Tahun ini kita turunkan lagi unjurannya kepada 4.3 peratus dan ini yang kita lakukan,” katanya.
Justeru, kata Anwar, tidak benar dakwaan bahawa dasar kewangan fiskal semasa mengekang dan tidak memenuhi apa yang pernah Kerajaan Madani janjikan kepada rakyat.
“Yang diwar-warkan itu sebahagiannya tidak berdasarkan fakta, sebahagian itu hanya lontaran politik yang tidak bertanggungjawab.
“Syaa berikan angka ini dan angka ini dipertahankan daripada segi kebenaran dan Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa mengeluarkan data-data ini bersama jabatan statistik,” katanya. – KOSMO! ONLINE