JAKARTA – Polis Kulon Progo, Jogjakarta sedang mencari dua individu dalam sebuah video tular yang menunjukkan motosikal dinaiki mereka dibonceng pocong, lapor laman berita Detik.
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Kulon Progo, Asisten Komisioner Polis Triatmi Noviartuti, pihaknya sedang mengesan dua individu tersebut bagi mengesahkan kesahihan video tersebut.
“Kami mahu mencari dua individu itu dan mahu memastikan sama ada pada malam kejadian, mereka menaiki motosikal berdua atau bertiga (pocong).
“Kami mahu memastikan sama ada kejadian itu melibatkan kegiatan paranormal atau tidak,” ujarnya.
Video rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) di hadapan balai polis Lendah itu baru-baru ini tular di laman sosial selepas ia memaparkan susuk berwarna putih dan tinggi berada di atas motosikal terbabit.
Kenderaan tersebut ketika itu dinaiki oleh dua individu, dengan kelibat ketiga secara samar-samar turut dilihat. – AGENSI