fbpx

Azizulhasni perlu waspada taktik licik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI terpaksa berpuas hati dengan pingat perak disebabkan taktikal lawannya pada final keirin Olimpik Tokyo 2020.

AKSI final keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi ingatan kepada seluruh peminat sukan berbasikal Malaysia selepas jaguh berbasikal Great Britain, Jason Kenny melakukan pecutan awal untuk menjuarai pingat emas temasya berkenaan.

Aksi agresif itu menafikan peluang Datuk Azizulhasni Awang untuk menamatkan kemarau pingat emas kontinjen negara apabila hanya mampu berpuas hati meraih pingat perak dalam acara keirin di Velodrom Izu pada edisi berkenaan.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkata, insiden pada edisi lalu di Jepun menjadi pengajaran bukan sahaja Azizulhasni tetapi buat semua pelumba di Olimpik nanti.

Menurutnya, dia meletakkan sepenuh keyakinan pelumba negara khususnya Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah menilai semua situasi bakal dilalui mereka di Paris nanti.

“Berdasarkan prestasi Azizulhasni dan segala bentuk bantuan bermula basikal baharu versi Olimpik Paris serta sokongan tambahan program Road to Gold (RTG), kita meletakkan sasaran dia akan membawa pulang pingat (emas) pertama Malaysia.

“Ini bukan sesuatu yang mustahil tetapi Azizulhasni perlu lakukan dengan lebih berhati-hati dan pastikan segala taktik digunakan selamat untuk berada di pentas final.

“Saya percaya Azizulhasni tahu apa yang dia akan lakukan pada hari perlumbaan kerana ini adalah Olimpik terakhirnya. Pada edisi lalu di Tokyo, satu kejutan dibuat oleh Jason Kenny yang memecut awal hingga menyebabkan perak menjadi milik Azizulhasni.

“Saya cukup yakin Azizulhasni, Shah Firdaus mahupun Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mampu lakukan yang terbaik buat kontinjen Malaysia di Paris nanti,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada edisi Tokyo 2020, Shah Firdaus tidak bernasib baik ketika membuat penampilan sulung di temasya itu apabila mengalami kemalangan pada saringan kedua acara keirin.

Shah Firdaus mengalami kesakitan di bahagian tulang rusuk kiri selepas berlanggar dengan pelumba Great Britain, Jack Carlin.

Ia menyebabkan dia terpaksa menamatkan acara berkenaan di suku akhir selepas berada di kedudukan terakhir daripada enam pelumba dalam saringan kedua, kurang 24 jam selepas mengalami kemalangan berkenaan.

Shah Firdaus juga menyertai acara pecut individu yang menyaksikan dia terkandas di perlumbaan repechages 1/8 sekali gus gagal ke suku akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI