PARIS – Pengendali Argentina, Javies Mascherano mendakwa tidak pernah menyaksikan satu kejohanan berprestij tinggi seperti Sukan Olimpik dianjurkan seperti ‘sarkas’ susulan kekalahan 1-2 pasukannya kepada Maghribi malam kelmarin.
Mascherano, 40, bengang dan menganggap penganjuran serta mutu pengadilan yang tidak profesional menyebabkan Argentina tewas aksi pembukaan Kumpulan B Olimpik Paris 2024 di Stade Geoffroy-Guichard, Saint-Etienne itu.
Argentina meledak gol penyamaan 2-2 menerusi Cristian Medina di penghujung tambahan masa kecederaan yang menyebabkan sebahagian penyokong Maghribi tidak berpuas hati dan bertindak membaling suar serta turut menceroboh padang.
Situasi itu menyebabkan kedua-dua pasukan diarahkan segera memasuki bilik persalinan yang membuatkan Argentina merasakan berjaya meraih satu mata sebelum diberitahu pegawai pertandingan bahawa mereka perlu memasuki padang semula untuk meneruskan bagi tiga minit permainan.
Bukan sahaja perlu menunggu hampir dua jam untuk beraksi dalam stadium kosong, malah pengadil turut membatalkan jaringan penyamaan tersebut selepas Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlakunya ofsaid, sekali gus menghadiahkan kekalahan buat skuad juara dunia itu.
“Kami menunggu lebih kurang dua jam di bilik persalinan tanpa mereka (penganjur) beritahu apa yang berlaku. Kapten Maghribi (Achraf Hakimi) seperti tidak mahu teruskan permainan dan penyokong mula membaling barang kepada kami.
“Ia seperti sarkas terbesar saya pernah lihat dalam hidup saya. Saya tidak tahu kenapa mereka mengambil masa satu jam 20 minit untuk menilai situasi (gol penyamaan dibatalkan).
“Jika benar ofsaid berlaku, teruskan sahaja permainan itu. Secara logiknya, anda tak perlu menunggu selama hampir dua jam semata-mata untuk bermain tiga minit di atas padang,” kata Mascherano. – AGENSI