KUALA KANGSAR – Penduduk Kampung Ara Panjang, Manong, di sini mengharapkan sinar baharu agar Kolam Air Panas Ara Panjang kembali dihidupkan.
Kolam air panas semula jadi itu yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pusat pelancongan, namun tanpa sebab yang jelas ia kini terbiar ‘mati’ sejak 2014.
Kawasan persekitaran kolam itu kelihatan menyeramkan dengan bangunan tandas dan ruangan mandi dalam keadaan kotor serta daun yang menjalar.
Ketua Kampung, Kamardin Abd. Majid, 62, sedang merancang untuk membangunkan semula kawasan tersebut dan mengharapkan usaha itu mendapat perhatian pihak kerajaan.
“Agak rugi aset bernilai ini dibiarkan begitu sahaja sedangkan boleh dibangunkan untuk manfaat ekonomi penduduk,” katanya.
Kamardin tidak tahu usia sebenar kolam air panas itu, tetapi katanya telah wujud agak lama sebelum beliau lahir lagi dan diceritakan tempat itu kerap dikunjungi oleh almarhum sultan-sultan Perak terdahulu.
“Pernah suatu ketika tempat ini didatangi mat salih dan menyatakan tempat ini lava atau lohong gunung berapi tetapi tidak pasti kebenarannya,” katanya.
Beliau juga mengharapkan sokongan banyak pihak untuk membangunkan semula kawasan tersebut, sekali gus tidak lagi sekadar dikaitkan dengan kisah-kisah misteri atau alam bunian.
Tinjauan mendapati papan notis kawasan itu masih wujud untuk rujukan para pengunjung lebih sedekad lalu.
Daripada pandangan mata kasar juga boleh diperhatikan ada asap haba di permukaan kolam air panas itu selain beberapa tempat dapat dilihat buih menggelegak keluar dari dasar kolam. -KOSMO! ONLINE