JAKARTA – Penduduk sebuah kawasan kejiranan di Bogor, wilayah Jawa Barat resah apabila beberapa kediaman menjadi sasaran pencuri selepas tulisan menyerupai tandatangan ditemui diconteng di sekitar rumah, lapor laman berita Detik hari ini.
Berdasarkan video yang dikongsikan di laman sosial, seorang penduduk berkata, rumahnya dipecah masuk oleh pencuri pada April lalu, beberapa hari selepas dia melihat tulisan tersebut.
Pada Jun pula, rumah seorang penduduk lain dalam kawasan sama dimasuki pencuri, juga selepas ditandakan dengan tulisan tersebut.
Sebuah lagi rumah nyaris menjadi sasaran baru-baru ini, namun sempat dihalang oleh pemiliknya sebelum pelaku melarikan diri.
Menurut penduduk, tulisan itu dibuat di dinding rumah, pagar, kain pelindung kereta serta batu di kawasan rumah mangsa.
Ketua Polis Daerah Sukaraja, Komisioner Polis Birman Simanulang berkata, pihaknya sudah berkerjasama dengan penduduk berhubung masalah itu.
Namun ketika ini, polis masih belum dapat mengesahkan sama ada tulisan itu berkaitan dengan kes kecurian.
“Kami meningkatkan rondaan di kampung, manakala penduduk juga banyak membuat rondaan.
“Namun, kami belum pasti sama ada tulisan itu ada kaitan dengan kecurian. Kami akan teruskan siasatan,” katanya. – AGENSI