BANGKOK – Seorang lelaki warga Thailand menipu keluarganya dengan berjanji untuk membeli kek hari jadi, hanya untuk meninggalkan isteri bersama empat orang anak di sebuah pondok tepi jalan, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Penduduk kampung yang tidak sampai hati melihat keadaan keluarga tersebut, bertindak membawa mereka pulang ke sebuah rumah sewa.
Pegawai-pegawai tempatan menerima laporan pukul 5 petang semalam daripada ahli Majlis Perbandaran Daerah Koksung, Parida Prasomsri bahawa seorang ibu dan empat anaknya ditemui di sebuah pondok di jalan Ban Dong Rueang-Ban Muang Nadee, mukim Phang Ngu dalam wilayah Udon Thani.
Penduduk kampung menemui keluarga itu selepas si suami meninggalkan mereka di sana. Dia menggunakan helah mahu membeli rokok tetapi tidak pernah kembali.
Si isteri berkata, dia, suaminya, dan anak-anak mereka menyewa sebuah rumah di Ban Na Baek, daerah Kumphawapi di mana mereka menangkap ikan dan menjalani kehidupan secara ‘kais pagi makan pagi’.
Keluarga itu membayar 2,000 baht (RM258) sebulan untuk sewa rumah dan sering bergelut untuk membuat pembayaran.
Si suami telah meyakinkannya untuk melawat saudara-mara di daerah Chaiwan untuk meminta wang bagi membeli kek hari jadi anak bongsu mereka.
Mereka bersama-sama menaiki motosikal tetapi apabila sampai di pondok tersebut, lelaki itu menyuruh keluarganya menunggu di pondok sementara dia pergi membeli rokok, namun tidak pernah kembali.
Si isteri menceritakan bagaimana mereka menunggu dari awal pagi hingga ke petang, tanpa kelibat suami.
Penduduk kampung yang menemui mereka melaporkan keadaan itu kepada polis tempatan di Nong Han. Si isteri mengesyaki suaminya mungkin pergi membeli dadah, kerana dia mempunyai sejarah meninggalkan keluarga untuk tempoh yang lama.
Penduduk kampung yang terharu dengan nasib ibu dan anak-anak tersebut, bertindak menghantar keluarga itu pulang pulang ke rumah sewa mereka di Ban Na Baek, daerah Kumphawapi, lapor laman berita KhaoSod. – AGENSI