SERING kali kita mendengar kisah kejayaan usahawan terkenal mengembangkan empayar perniagaan mereka.
Hakikatnya, di sebalik kejayaan itu pelbagai cabaran terpaksa diharungi oleh mereka.
Bagi Madiha Fuad, 34, dia boleh dikatakan sudah memiliki semua yang diimpikan termasuk beberapa syarikat berkaitan makanan dan minuman, fesyen, hiasan dalaman, perisian serta analisa pelaburan.
Madiha atau lebih mesra disapa Maddy itu pernah mendapat biasiswa untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Taylor.
Kini, dia melanjutkan pula pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang keusahawanan.
Katanya, menguruskan pelbagai perniagaan serta memberi fokus kepada pengajian bukanlah perkara mudah kerana ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kesihatannya.
Akibatnya, saraf pada bahunya terganggu sehingga dia tidak mampu menggerakkan tangan kanan.
Keadaan itu membuatkan dia mengalami kemurungan serta hampir berputus asa meskipun telah mengecapi pelbagai kejayaan dalam hidup.
“Cuba bayangkan, dari seorang yang sentiasa bekerja keras, saya tidak boleh lakukan apa-apa.
“Kebanyakan masa saya hanya mendiamkan diri tanpa bercerita masalah yang dihadapi kepada keluarga atau rakan-rakan kerana tidak mahu mereka risau,” katanya membuka bicara.
Akuinya, meskipun dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, Maddy memberitahu, fikirannya tidak pernah berhenti berfikir mengenai cara untuk mengatasi masalah tersebut.
Malah, masalah kemurungan yang dihadapi telah memberi idea kepadanya untuk membantu orang lain yang mungkin senasib.
Maddy memberitahu, berdasarkan pengalamannya, dia tampil memperkenalkan aplikasi telefon pintar iaitu PlusVibes pada tahun 2020.
“Aplikasi ini memberi peluang kepada orang ramai untuk meluahkan masalah tanpa dikenali serta berkomunikasi secara dalam talian dengan wakil persatuan berdaftar.
“Uniknya, aplikasi ini menghubungkan komuniti dalam satu platform yang membolehkan sesiapa sahaja berbual tanpa dikenali serta kerahsiaan identiti terjamin.
“Saya tahu ramai di luar sana yang mengalami masalah seperti saya dan berasa malu atau tidak berkeyakinan untuk tampil mendapatkan bantuan.
“Sebab itu saya wujudkan aplikasi ini untuk membantu orang ramai. Ini kerana, masalah kemurungan yang teruk boleh membuatkan seseorang itu melakukan tindakan di luar kawalan.
“Aplikasi ini adalah tempat meluahkan masalah dan mendapatkan bantuan serta sokongan moral atau motivasi,” tuturnya.
Tidak terhenti di situ, PlusVibes juga mengandungi pelbagai artikel, video dan aktiviti sebagai rujukan pengguna dalam mendapatkan motivasi.
Tambahnya, PlusVibes ditubuhkan bagi membantu orang ramai dengan harapan dunia akan menjadi tempat yang lebih aman apabila kasih sayang dan sikap prihatin manusia dapat dipertingkatkan.
Menyorot kembali kisahnya, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu memberitahu, dia membesar sebagai kanak-kanak ‘slow learner’, namun tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk tidak mengecap kejayaan.
Maddy berkata, dia menjadikan kekurangan dirinya sebagai kelebihan bagi memastikan tidak ketinggalan dalam pelajaran serta kerjaya.
“Sejujurnya, zaman kanak-kanak saya tidak mudah kerana kebanyakan orang di sekeliling saya mempunyai skeptikal terhadap individu ‘slow learner’ seperti saya.
“Namun, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada saya untuk berjaya.
“Kekurangan diri itulah yang membuatkan saya berusaha 200 peratus berbanding orang lain.
“Saya mahu buktikan kepada diri sendiri bahawa saya juga mampu melakukan perkara yang dilakukan oleh orang lain.
“Saya enggan membiarkan label atau stigma itu mendefinisikan siapa saya,” katanya.
Maddy memberitahu, peluang tinggal di luar negara selama hampir dua dekad membolehkannya menguasai pelbagai bahasa termasuklah bahasa Inggeris, Jepun, Perancis dan Arab.