MARAN – Kehidupan ceria seorang peneroka berubah 360 darjah selepas terkena serangan strok sejak tiga tahun lalu dan kini hanya terlantar di atas katil di rumahnya di Felda Anggerik, Jengka 1 di sini.
Wan Mahmud Wan Sulaiman,75, kini semakin tertekan dan terbaring lesu dan hanya mengharapkan bantuan isterinya, Che Puan Abu Bakar,69, untuk menguruskan dirinya.
Katanya, disebabkan itu, pendapatan sebagai peneroka jadi tidak menentu selepas urusan ladang diserahkan kepada orang lain sejak jatuh sakit.
Che Puan berkata, strok yang menyerang pada 2021 itu menyebabkan seluruh anggota badan lumpuh, manakala percakapan tidak jelas dan sukar difahami, tetapi masih mengenali rakan yang datang melawat.
“Saya membawa suami berubat termasuk melakukan urutan tradisional sehingga wang simpan belasan ribu ringgit habis, tetapi tidak ada ada perubahan,” katanya di sini semalam.
Bercerita lanjut, Che Puan memaklumkan, suaminya diserang strok ketika berehat di serambi rumah sebelum dikejarkan ke Hospital Jengka dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk mendapat rawatan.
Katanya, selepas sebulan keadaan suaminya tidak berkurang menyebabkan dia minta dibawa balik bagi mendapatkan rawatan alternatif.
Tambahnya, apa yang membimbangkan adalah kos barangan keperluan suaminya yang mencecah lebih RM3,000 sebulan termasuk nestum dan susu khas yang perlu diberi lima kali sehari seperti saranan doktor.
Ujarya, setiap bulan suaminya memerlukan 15 tin susu khas, nestum, lampin pakai buang, tisu basah, ubat-ubatan, krim, minyak urut serta perlu menyewa kenderaan untuk janji temu dengan doktor pakar di Hoshas.
Sesiapa yang ingin membantu boleh menghubungi talian 019-296 4193 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Che Puan Bakar 0630029000074027.