KUALA LUMPUR – UiTM Energy & Facilities Sdn. Bhd. (UEFSB) bersama Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memajukan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Matlamat kerjasama ini adalah pemasangan dan pemeliharaan sistem photovoltaic (PV) di atas bumbung stesen-stesen minyak terpilih yang dimiliki dan dikendalikan oleh BHPetrol.
MoU tersebut ditandatangani antara Pemangku Ketua Pegawai Operasi, UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB), Mohd. Nasrul Khairi dan Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol Ir. Azizul Azily Ahmad.
Majlis tersebut turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku antara pelaksana dasar yang mengetengahkan isu kelestarian tenaga boleh diperbaharui.
Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif utama untuk mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan tenaga bersih.
Mohamed Khaled berkata, mana-mana syarikat perlu melihat kepada cara untuk mengoptimumkan kos untuk menjayakan sesebuah syarikat.
Ujarnya, UHSB pula sememangnya dah terlibat dalam soal tenaga diperbaharui sejak sekian lama apabila memiliki ladang solar berskala besar di Gambang, Pahang dan Pasir Gudang, Johor.
“Jadi melalui kerjasama ini kita berharap ia dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU antara UEFSB dan BHPetrol di sini hari ini.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UHSB, Dr. Heazar Ismail berkata kolabrasi ini adalah bukti nyata bahawa UEFSB dan BHPetrol, merupakan satu kerjasama yang unik.
Katanya, kolabrasi itu merupakan julung-julung kalinya diusahakan antara satu syarikat tenaga boleh diperbaharui dan sebuah syarikat tenaga konvensional.
Dalam pada itu, Azizul berkata, BHPetrol sentiasa komited dan berusaha untuk bergerak selaras dengan agenda nasional.
“Sebagai sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera, BHPetrol merasakan tanggungjawab untuk sama mendukung misi dalam bidang peralihan tenaga dan pembangunan mampan bagi industri peruncitan komersial.
“Oleh itu, kami mengambil inisiatif sebagai langkah permulaan bagi perjalanan transformatif dari segi tenaga boleh diperbaharui dengan penggunaan sistem solar fotovoltaik di 35 stesen BHPetrol yang terpilih di Semenanjung Malaysia”, ujar nya.
Fasa awal projek ini akan melibatkan pemasangan panel solar di 35 stesen minyak BHPetrol yang terpilih.
Setiap pemasangan dijangka mampu menjana 29 megawatt- hours (MWh) tenaga bersih setiap tahun, seterusnya mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak 17.4 tan setiap tahun. – KOSMO! ONLINE