SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) komited untuk menjaga kebajikan pekerja di negara ini bagi memastikan nasib golongan tersebut terus terbela.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, tidak timbul sebarang dakwaan segelintir majikan yang menganggap beliau tidak mengambil berat golongan tersebut setelah tidak lagi bersama Kementerian Kewangan (MOF) sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.
“Ada majikan berkecil hati (dengan perhatian saya terhadap pekerja) pasal apa dulu bercakap pasal ekonomi, majikan, syarikat dan pelabur tetapi sekarang bercakap pasal pekerja sahaja.
“Saya cakap kepada mereka (golongan majikan) kita ada empat hingga lima kementerian yang menjaga (kepentingan mereka) pelaburan, ekonomi, kewangan dan usahawan.
“Namun, hanya ada satu kementerian iaitu Kesuma yang menjaga pekerja. Kalau bukan Kesuma, siapa lagi yang jaga pekerja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Kolektif Pertama 2024-2026 antara Aeon Co.(M) Bhd.dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Aeon.Co (M) Bhd.di Aeon Mall Shah Alam hari ini.
Steven Sim menegaskan, secara hakikatnya golongan pekerja dan majikan perlu bergerak seiring untuk memastikan manfaat kepada kedua-dua pihak itu. – KOSMO!ONLINE