KUALA LUMPUR – Reda dengan ketentuan Ilahi, pelawak Harith Iskander menyifatkan perceraian yang berlaku hari ini merupakan langkah terakhir selepas melakukan pelbagai usaha bagi menyelamatkan rumah tangganya dengan bekas isteri, Dr. Jezamine Lim.
Menurut Harith, 57, dia dan Jezamine sudah sama-sama berusaha menyelamatkan rumah tangga yang dibina 14 tahun namun tetap menemui jalan buntu.
“Sudah lama kami berusaha untuk selamatkan rumah tangga ini, bukan dari pihak saya sahaja tetapi Jezamine juga.
“Kami sudah lakukan pelbagai usaha tetapi perpisahan adalah langkah yang seterusnya,” katanya kepada Kosmo! Online selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Tambah Harith, dia bagaimanapun menegaskan hubungannya dengan Jezamine kekal sebagai sahabat seperti yang maklumkan sebelum ini dalam sebuah temu bual podcast (audio siar).
“Kami dah sampai ke tahap ini dengan cara yang baik, masih lagi berkawan demi kebaikan anak-anak kami.
“Perkara ini semua berkekalan dengan lancar dan kami sudah tiba di satu tahap sudah bersetuju dalam semua aspek untuk perceraian ini.
“Ketika melafazkan talak, pastinya sedih tetapi secara peribadi, kedua-duanya setuju dan dapat ‘move forward’ dalam kehidupan masing-masing,” ujarnya.
Ditanya mengenai penerimaan anak-anak, Harith berkata, dia terbuka berkongsi hal perceraiannya namun tetap memastikan tidak menjejaskan kehidupan peribadi mereka.
“Tentang anak-anak, kami sudah beritahu kepada mereka. Kami juga buka ruang kepada mereka untuk bertanya apa sahaja.
“Bagi saya mereka okey, kami akan pastikan tiada apa yang akan menggangu mereka dari segi sosial.
“Selepas ini kami akan teruskan pekerjaan seperti biasa. Kami ada syarikat yang perlu diuruskan, berjalan seperti biasa,” katanya lagi.
Mengulas sama ada wujud peluang untuk mereka kembali bersama, Harith enggan meletakkan sebarang harapan tinggi sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Tuhan.
“Itu semua di tangan Allah, tiada siapa yang boleh kata segalanya akan terjadi esok.
“Masa sebelum kahwin pun saya tak pernah tahu esok akan kahwin.
“Mungkin satu hari kalau ditakdirkan bersama, insya-Allah,” ujarnya lagi.
Hari ini, Harith dan Jezamine sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini.
Harith atau nama penuhnya Harith Iskander Musa, 57, melafazkan cerai talak satu pada pukul 12.05 tengah hari di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Jezamine pada 24 Jun lalu.
Untuk rekod Harith dan Jezamine, 41, mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010.
Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Zander Xayne, 14, Alessandra Jayne, 11, dan Zydane Zayne, yang berusia 9 tahun. – KOSMO! ONLINE