fbpx

Jadi ‘operator’ scam kerja, remaja 14 tahun nikmati RM3,500 sebulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli menunjukkan barang kes yang dirampas ketika serbuan di kediaman sekitar ibu negara Isnin lalu.

KUALA LUMPUR – Baru berusia 14 dan 16 tahun tetapi sudah menikmati gaji bernilai RM3,500 sebulan, hasil bekerja sebagai ‘operator’ (pengendali) dengan sindiket penipuan kerja dalam talian.

Pekerjaan dua remaja lelaki dan dua remaja perempuan itu terbongkar apabila ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman termasuk lima lelaki warga China menerusi serbuan di sebuah premis kediaman di Sungai Besi, di sini, Isnin lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek berusia berusia lingkungan 14 hingga 40 tahun dipercayai berperanan sebagai operator panggilan dan pengurus data.

Katanya, sebanyak 18 telefon bimbit, empat komputer riba, lima set komputer, satu rangkai anak kunci beserta kad akses, satu set skrip perbualan, satu router dan satu beg bagasi telah dirampas.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini disyaki memulakan operasi sekitar Januari tahun inidan mengendalikan platform ‘LEHUIGOUA’ yang digunakan sebagai laman web yang menyerupai platform e-dagang sebagai tempat yang sah untuk membeli barang atau perkhidmatan namun hakikatnya ia adalah muka hadapan untuk skema penipuan yang lebih besar.

“Sasaran sindiket ini mangsa dalam kalangan rakyat China sementara platform ini mendakwa berkolaborasi dengan platform e-dagang terkenal seperti Taobao, Tmall dan JD.com.

“Melalui skrip komunikasi mereka, sindiket ini mendakwa mangsa-mangsa berpeluang untuk mendapatkan komisen hasil penjualan barangan. Mangsa yang berminat bekerja melalui
platform ini akan dimasukkan di dalam kumpulan Telegram dan segala komunikasi serta arahan diberikan melalui kumpulan tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, komisen yang dijanjikan sindiket adalah berubah-ubah dari 0.3 peratus hingga 0.6 peratus dengan janji untuk memperoleh pendapatan tinggi sering digunakan sebagai umpan.

“Siasatan setakat ini turut mendapati, sindiket ini mempunyai akses terhadap akaun mangsa di platform tersebut. Ini membolehkan mereka mengubah data seperti kredit dan keuntungan serta sering menunjukkan kewujudan transaksi palsu bagi menarik kepercayaan mangsa.

“Lima daripada sembilan individu yang ditahan sedang direman sehingga esok manakala empat yang lain (remaja) telah dibebaskan dengan jaminan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI