Oleh RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU – Asrama pekerja Westlife di Taman Perindustrian Tampoi Indah Jaya di sini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 8 Januari tahun depan.
PKPD dilaksanakan kawasan penempatan itu berikutan terdapat seramai 115 orang daripada 3,116 penghuni didapati positif dengan kesemuanya pekerja warga asing.
Tinjauan Kosmo! di asrama tersebut mendapati kawasan di sekeliling asrama di pasang kawad berduri bagi menghalang penghuni asrama menceroboh keluar.
Semalam, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Westlife, Johor Bahru, Johor bermula hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti yang terletak di Taman Perindustrian Tampoi Jaya itu dikenakan PKPD sehingga 8 Januari ini.
Walaubagaimanapun pelaksanaan PKPD di kawasan ini hanya melibatkan 231 unit kediaman dengan anggaran jumlah penghuni seramai 3,116.
Langkah itu susulan laporan Kementerian Kesihatan yang merekodkan ada berlaku peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di sekitar asrama berkenaan.
Malah, ujian saringan dalam masa tiga hari bermula 21 Disember lalu mendapati seramai 115 orang daripada 3,116 penghuni di situ positif dengan kesemuanya pekerja warga asing.-K! ONLINE