KUALA LUMPUR – Deretan kedai yang dipercayai dikuasai warga asing digempur Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi dinamakan Ops Belanja di Kampung Masjid, Jalan Segambut Dalam, di sini, hari ini.
Operasi bermula pukul 3 petang itu menyasarkan enam premis membabitkan kedai runcit, gerai makanan, kedai telekomunikasi dan kedai gunting rambut dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan diusahakan warga asing.
Ketika pemeriksaan dilakukan, salah seorang PATI memberikan alasan hanya menolong perniagaan saudaranya tanpa gaji sejak seminggu lalu.
Bagaimanapun, hasil risikan mendapati lelaki yang bekerja di premis telekomunikasi itu disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di premis tersebut.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya melakukan risikan selama lebih satu bulan hasil aduan orang awam.
“Kita menahan 10 warga asing membabitkan warga Indonesia (7) warga Bangladesh (2) warga India (seorang). Mereka yang berusia 25 hingga 60 tahun disyaki bekerja di premis di lokasi tersebut,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, Mohammed Saupee berkata, seorang wanita warga Indonesia disyaki pemilik premis turut ditahan kerana menggajikan warga asing.
“Kesemua tangkapan yang dibuat membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen perjalanan, tinggal lebih masa dan melindungi PATI. Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Semakan mendapati beberapa premis perniagaan yang diperiksa mempunyai lesen perniagaan milik warga tempatan namun diusahakan warga asing.
“Saya menyeru agar masyarakat mematuhi peraturan yang ditetapkan, situasi sebegini hanya menjejaskan ketenteraman awam berikutan kebanjiran warga asing.
“Tindakan juga diambil terhadap pemilik premis dan akan dikeluarkan saman saksi terhadap mereka,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.