NEW DELHI – Seorang jurutera di Bengaluru menjadi perhatian netizen kerana melakukan kerja sambilan sebagai pemandu beca berenjin bagi mengatasi masalah kesunyian, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di platform X, netizen bernama Venkatesh Gupta berkata, lelaki tersebut merupakan pekerja di syarikat gergasi teknologi, Microsoft.
“Perkenalkan, seorang jurutera perisian berusia 35 tahun yang bekerja di Microsoft Koramangala memandu beca untuk mengatasi rasa sunyi pada hujung minggu,” tulis hantaran tersebut.
Gambar lelaki berkenaan yang dirakam dari belakang, memaparkan dia memakai baju dengan ‘hoodie’ serta bertulis ‘Microsoft’.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Saya tidak pasti sama ada dia benar-benar jurutera perisian. Namun, saya baru sahaja membaca berita mengenai tekanan di tempat kerja sebelum melihat hantaran ini,” kata seorang pengguna media sosial. – AGENSI