TALLAHASSEE, FLORIDA – Sebuah pejabat syerif di negeri Florida mengingatkan orang ramai agar tidak menghampiri seekor beruang yang menunjukkan gejala tekanan selepas beberapa orang dilihat cuba merakam swafoto dengan haiwan itu.
Agensi berita United Press International melaporkan, Pejabat Syerif Daerah Walton mengeluarkan amaran itu pada laman sosial selepas beruang tersebut dilihat di bahagian utara Lebuhraya 98 berhampiran Jalan County 83, Pantai Santa Rosa.
“Comel tetapi berbahaya. Beruang hitam ini kelihatan tertekan,” tulis kenyataan itu.
Tambah kenyataan sama, orang ramai dilihat menghampiri beruang tersebut untuk merakam gambar.
“Jelas sekali ia enggan bergambar. Beruang ini menunjukkan gejala-gejala tekanan yang teruk,” tambahnya.
Pejabat syerif berkata, ahli biologi Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida bertindak balas ke tempat kejadian, tetapi beruang itu telah kembali ke dalam hutan. – AGENSI