fbpx

Azeem harap bukan Olimpik terakhir disertai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM akan menimba pengalaman pertamanya beraksi di pentas Olimpik pada edisi di Paris kali ini.

PELARI pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi menegaskan tidak ada sebarang masalah meskipun tidak bersama kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimmpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung 27 Julai ini.

Azeem yang akan membuat penampilan sulung pada temasya sukan terbesar dunia itu tidak dapat menyertai rakan sepasukan lain dalam upacara pembukaan nanti memandangkan dia akan berlepas ke Paris pada 28 Julai ini.

Atlet berusia 20 tahun itu menegaskan, dia akan memastikan untuk terus menyertai Sukan Olimpik pada masa hadapan bagi membolehkan dia dapat bersama pasukan dalam upacara pembukaan nanti.

“Tidak mengapa jika tidak dapat menyertai upacara pembukaan kerana bagi saya, objektif utama adalah memastikan ini tidak akan menjadi Olimpik pertama dan terakhir saya. Sudah tentu Olimpik Los Angeles 2028 nanti nak layak secara merit.

“Ketika itu mungkin ada rezeki lebih besar, termasuk rezeki nak berada dalam perarakan bagi upacara pembukaan. Apa yang paling penting adalah asalkan saya dapat berlari di Sukan Olimpik,” katanya ketika ditemui selepas menerima tajaan daripada Mizuno di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Turut menerima tajaan pada majlis tersebut adalah Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard yang akan mengiringi Azeem ke Olimpik Paris nanti.

Dalam pada itu, Azeem menjelaskan, fokusnya kini sudah beralih 100 peratus ke arah Olimpik Paris memandangkan dia meletakkan sasaran untuk menampilkan aksi terbaik pada temasya sukan terbesar dunia tersebut.

“Ini adalah sukan terbesar dunia, jadi saya mahu tunjukkan kemampuan saya dan sedia mengenepikan segala benda luar trek. Sekarang fokus saya adalah 100 peratus terhadap prestasi dan hari pertandingan di Paris,” ujarnya.

Terdahulu, Azeem terpilih untuk beraksi di Sukan Olimpik 2024 selepas diberikan tiket wildcard oleh KOM, sekali gus mengenepikan persaingan daripada rakan sepasukan, Shereen Samson Vallabuoy. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI