PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil akan ke Singapura Ahad ini untuk bertemu semua wakil platform media sosial bagi membincangkan isu jenayah dalam talian.
Fahmi berkata, pertemuan itu sebagai penting bagi menyatakan pendirian tegas Malaysia terhadap isu yang membelenggu rakyat Malaysia ketika ini.
“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah keluarkan surat kepada setiap platform dan memberi maklum balas berhubung sejumlah isu yang dibangkitkan. Kita minta supaya platform ini berikan komitmen dan berusaha untuk menangai masalah yang dibangkitkan, khususnya berkait platfrom mereka.
“Kami dapati scam di Facebook (FB) sahaja mencecah kerugian beratus juta. Walaupun kadar kepatuhan (reaksi kepada aduan) tinggi namun, secara keseluruhannya jumlah scam berlaku dalam FB ini terlalu banyak.
“Angka yang kami perolehi, sejak Januari hingga Jun lalu, sebanyak 100,000 aduan yang disampaikan MCMC kepada FB dan Meta untuk turunkan kandungan berbentuk scam,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, Meta perlu ambil tindakan lebih proaktif menggunakan kecerdasan pintar (AI) sekali gus mematikan usaha pihak yang menyalah guna platform di bawah Meta untuk tujuan scam. – KOSMO! ONLINE