BANGKOK – Thailand akan menggubal undang-undang berhubung kegunaan ganja untuk tujuan perubatan, dan bukannya menyenaraikan semula tumbuhan itu sebagai dadah, kata Timbalan Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul seperti dilaporkan laman berita Independent.
Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Srettha Thavisin berikrar untuk mengharamkan ganja pada hujung tahun ini.
Pengharaman tersebut dibuat hanya dua tahun selepas Thailand menjadi salah sebuah negara pertama di Asia yang tidak meletakkan penggunaan ganja sebagai kesalahan jenayah.
Bagaimanapun, Anutin berkata, kerajaan kini akan membincangkan rancangan untuk mewujudkan draf undang-undang bagi mengawal industri ganja.
Katanya, pada Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa ganja akan disenaraikan semula sebagai dadah.
Namun, Srettha kini bersetuju bahawa penggubalan undang-undang adalah langkah yang sesuai untuk diambil bagi mengawalnya.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mempertimbangkan perkara ini dan memutuskan untuk mengeluarkan akta,” ujarnya selepas pertemuan dengan Srettha dan Menteri Kesihatan, Somsak Thepsutin.
Thailand menyaksikan pertumbuhan pesat dalam sektor runcit domestik untuk ganja, industri yang diunjurkan bernilai sehingga AS$1.2 bilion (RM5.6 bilion) menjelang 2025. – AGENSI