fbpx

K2

Persoalan mengenai perbezaan azan solat Jumaat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZAN merupakan syiar dalam agama Islam yang berfungsi sebagai seruan menunaikan solat. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya mengapakah azan solat jumaat di Wilayah tidak sama waktu seperti yang dilaungkan pada zaman Saidina Usman RA, bukankah pada zaman beliau azan dilaungkan kira-kira 30 minit sebelum masuk waktu dan azan kedua semasa masuk waktu. Di Wilayah dan kebanyakan negeri azan pertama dilaungkan pada masuk waktu dan azan kedua selepasnya dalam lebih kurang 10 minit. Mengapakah terdapat perbezaan dalam hal ini dan bolehkah ia diubah. Mohon pencerahan.

Jawapan: Azan merupakan syiar dalam agama Islam berfungsi sebagai seruan untuk menunaikan solat dan menandakan telah masuknya waktu solat. Pensyariatan seruan azan ini telah disepakati oleh para ulama berdasarkan dalil-dalil yang jelas menurut al-Quran dan sunnah. Firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu). (Surah al-Jumuah, 9)

Berkaitan azan Jumaat, pada zaman Nabi SAW azan dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar dan ia turut dilaksanakan pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar dan Umar R.Anhuma. Pada era khalifah Saidina Usman RA, azan Jumaat ditambah sebelum khatib duduk di atas mimbar bagi menyeru umat Islam supaya bersegera dalam persiapan menunaikan solat Jumaat. Hal ini kerana pada ketika itu bilangan umat Islam semakin ramai. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saib bin Yazid RA, katanya:

Maksudnya: Sebelum ini seruan (azan) pertama pada hari Jumaat dikumandangkan apabila imam duduk di atas mimbar ketika zaman Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar R.Anhuma. Kemudian pada zaman Usman RA disebabkan terlalu ramainya manusia, maka beliau menambah seruan azan sehingga menjadi tiga kali (termasuk iqamah) di al-Zaura’ (atas atap rumah kecil di tengah pasar).
Riwayat al-Bukhari (912)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa azan solat Jumaat pada zaman Nabi SAW dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar dan fakta ini disepakati oleh para ulama. Manakala azan yang ditambah oleh Saidina Usman pada waktu sebelum khatib duduk di atas mimbar adalah ijtihad beliau sendiri dan diperakui oleh para sahabat yang lain tanpa mengingkarinya. Menurut Imam Badruddin al-‘Aini, azan tambahan tersebut dikumandangkan ketika masuknya waktu zuhur.

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan bahawa, penambahan azan Jumaat oleh Saidina Usman bertujuan untuk memberi tahu umat Islam tentang masuknya waktu solat dengan mengkiaskan azan pada waktu solat fardu yang lain. Dalam masa yang sama, beliau mengekalkan azan seperti yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW iaitu azan ketika khatib berada di atas mimbar. Selain itu, terdapat sesetengah tempat melakukan zikir dan selawat sebelum masuknya waktu Jumaat, pun begitu Imam Ibn Hajar berpendapat mengikut para salaf al-Saleh adalah lebih utama.

Menurut Dr. Musa Syahin Lasyin, kebanyakan negara Islam pada hari ini mengumandangkan azan pada hari Jumaat apabila masuknya waktu secara nyaring dan kuat dengan menggunakan pembesar suara, seterusnya mengumandangkan azan ketika khatib berada di atas mimbar. Terdapat juga di sebahagian tempat yang mengumandangkan azan secara nyaring dan kuat sejam atau setengah jam sebelum masuknya waktu Jumaat, kemudian mengumandangkan azan ketika khatib di atas mimbar. Manakala terdapat juga sebilangan kecil yang melakukan sekali azan sahaja iaitu ketika khatib di atas mimbar sepertimana yang dilakukan ketika zaman Nabi SAW. Ini menunjukkan bahawa terdapat perbezaan pendapat dalam hal ini, dan setiap pandangan itu merupakan ijtihad dan terdapat pendalilannya yang tersendiri. Oleh itu tidak seharusnya untuk memaksa dengan berpegang pada mana-mana pandangan yang tertentu, apatah lagi mencela mereka yang berbeza pendapat.

Tuntasnya, azan solat Jumaat dilakukan sebanyak dua kali, pertama ketika masuk waktu dengan mengikut apa yang dilakukan oleh Saidina Usman bertujuan untuk memberitahu umat Islam tentang masuknya waktu solat. Manakala azan kedua dikumandangkan ketika khatib duduk di atas mimbar seperti yang dilakukan ketika zaman Nabi SAW, khalifah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar. Hal ini sepertimana yang telah diamalkan di Malaysia dan ia tidak bercanggah dengan kehendak syarak.

Kesimpulannya, terdapat juga pengamalan di sesetengah tempat yang mengumandangkan azan sebelum masuk waktu Jumaat dan terdapat juga yang hanya mengumandangkan azan sekali ketika khatib berada di atas mimbar dan ini merupakan ijtihad dan pandangan para ulama berlandaskan dalil syarak.

Ini menunjukkan perbezaan pandangan dalam Islam merupakan rahmat daripada Allah SWT. Bahkan para Imam tidak mempertikaikan amalan masyarakat setempat walaupun dalil amalan tersebut lemah di sisi mereka.
Wallahu’alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI