PUTRAJAYA – Kementerian Digital mengesahkan sejumlah lima agensi kerajaan dan sembilan syarikat swasta terjejas ekoran gangguan CrowdStrike yang tercetus pada minggu lalu.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, bagaimanapun, insiden itu bukanlah satu bentuk serangan siber, sebaliknya hanya kelemahan sistem.
“Kita mengenal pasti agensi yang terkesan antaranya ialah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“Kami juga sudah menerima laporan daripada CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) dan Digital Nasional Berhad berhubung hal itu,” katanya pada sidang akhbar khas di sini tadi.
Gangguan berkenaan dilaporkan berlaku di seluruh dunia pada Jumaat lepas sehingga mencetuskan panik pengguna yang tidak dapat berurusan untuk perkhidmatan tertentu.
Katanya, gangguan itu berlaku susulan kelemahan perisian kemas kini CrowdStrike mengakibatkan sistem operasi Microsoft terganggu dan pengguna gagal akses.
“Meskipun tidak dikategorikan sebagai serangan siber, pihak kementerian memandang serius isu itu kerana ia menunjukkan kelemahan teknologi boleh tercetus bila-bila masa selain boleh menyebabkan kerosakan besar sekiranya ia berulang lagi kerana keperluan tahap tinggi kebergantungan kepada teknologi digital.
“Setakat ini kami sudah pantau dan berjaya tumpaskan beberapa cubaan pancingan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ceroboh data pengguna ketika insiden itu,” katanya. – KOSMO! ONLINE