PETALING JAYA – “Terbaca surat yang dia tulis, terima kasih orang baik. Sangat terharu baca.”
Itu antara ucapan terima kasih orang ramai kepada individu yang bertanggungjawab menulis dua surat layang untuk memaklumkan kepada pihak atasan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), bahawa Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain didera rakan-rakannya.
Media sosial dipercayai milik bekas pelajar UPNM yang juga sahabat Zulfarhan itu mula dihujani ucapan tersebut selepas salah seorang pengguna TikTok berkongsi maklumat akaun Instagramnya.
Tinjauan Kosmo! di akaun Instagram tersebut mendapati individu tersebut menamatkan pengajian di sebuah kolej ketenteraan di luar negara pada Jun 2021 berdasarkan sekeping gambar dan maklumat yang dikongsikan.
Selain itu, pemiliknya juga dilihat berkongsi dia sudah mendirikan rumah tangga tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata.
Orang ramai menzahirkan rasa terharu dan bangga selain mendoakan individu tersebut dikurniakan keturunan yang baik.
Malah, ada juga yang inginkan kepastian sama ada akaun media sosial tersebut milik penulis surat layang yang dimaksudkan.
“Salam dik nak tanya sikit, adik ke yang hantar surat layang tu untuk arwah Zulfarhan? Ya Allah,” soal @fatingorgeous.
“Saya pun nak tahu, banyak komen di TikTok nama Instagram ni. Agaknya dia la kot. Terima kasih anda seorang yang hebat, juga punya orang tua terbaik,” tulis @dheos_rose.
“Terbaca surat yang dia tulis, terima kasih orang baik. Sangat terharu baca,” kata @haziqcorn.
“Terima kasih bang atas surat layang tu. Semoga abang dimurahkan rezeki dan sentiasa berada di bawah lindungan-Nya,” ucap @mnsyaxmi_99.
“Terima kasih jadi orang yang berperikemanusiaan. Akak doakan awak dalam lindungan-Nya selalu,” ujar @tastyliciousby_sskitchen. – KOSMO! ONLINE