TAWAU – Seorang remaja lelaki terselamat dari cengkaman mulut buaya selepas memukul mata reptilia berkenaan yang menyerangnya di sungai Jeti Tanah Merah, Felda Umas 4 kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa berusia 18 tahun parah di bahagian badan dan kaki akibat serangan reptilia berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa.
Katanya, anak saudara mangsa berusia 14 tahun membuat laporan di Balai Polis Kalabakan mengenai kejadian itu pada jam 7.26 malam.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa pengadu, mangsa dan seorang lagi rakannya turun ke sungai berkenaan untuk menangkap ikan.
“Bagaimanapun, seekor buaya tiba-tiba menyerang mangsa, namun bernasib baik dapat melepaskan diri selepas memukul mata buaya berkenaan,” katanya.
Jasmin berkata, mangsa kini masih dirawat di Hospital Tawau dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Kes berkenaan sudah dirujuk kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE