BESUT – Penduduk pekan Jerteh di sini gempar dengan penemuan satu mayat lelaki yang terdampar di tepi Sungai Jerteh berhampiran Masjid Hadhari di sini hari ini.
Mayat yang masih belum diketahui identiti tersebut ditemui pada pukul 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan.
“Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kesan kecederaan dan unsur jenayah pada tubuh mangsa. Buat masa ini, identiti mangsa masih belum dikenalpasti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rozak berkata, mayat lelaki itu telah di bawa ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan diminta diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE