JOHOR BAHRU – Tindakan Ketua Biro Aduan Awam Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor, Lim Thow Siang mengendalikan beberapa kes berkaitan pengaduan scammer menyebabkan dia menjadi sasaran kumpulan itu.
Thow Siang mendakwa dia menerima ugutan jenayah oleh sekumpulan scammer yang aktif di bandar raya ini dan Singapura.
Lelaki berusia 50-an itu berkata, ugutan tersebut diterima pada 4 petang pada 18 Julai lalu iaitu menerusi mesej yang dihantar menerusi aplikasi WhatsApp.
“Individu berkenaan mengugut mahu mengancam keselamatan saya dengan niat ‘ingin memberikan kacang’ bermaksud peluru atau tembak selain ugut membakar pejabat saya.
“Saya mula membantu mangsa penipuan sejak 18 tahun lalu dan pernah menerima ugutan ringan sebelum ini namun saya terus membantu demi memupuk kesedaran ramai,” katanya.
Bagaimanapun, Thow Siang telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Desa Cemerlang berkaitan ugutan tersebut. – KOSMO! ONLINE