JOHOR BAHRU – Polis meminta agar masyarakat memberi ruang kepada pasukannya melakukan siasatan terperinci berhubung kes culik Albertine Leo Jia Hui, 6.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, polis kini sedang membuat siasatan terhadap lima suspek yang ditangkap berhubung kejadian ini.
“Setakat ini hanya lima suspek yang masih di bawah tahanan reman polis bagi membantu siasatan kes. Tiada tangkapan baharu. Terima Kasih,” jawabnya ringkas ketika dihubungi bagi mendapatkan perkembangan terbaharu kes kanak-kanak yang dilaporkan dibawa lari ketika di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri dekat sini, Sabtu lalu.
Ditanya pelbagai perkembangan siasatan lain termasuk motif penculikan dan hubungan suspek dengan ibu atau bapa mangsa, beliau memohon untuk diberi ruang siasatan lanjut dilaksanakan terlebih dahulu.
“Harap bersabar, persoalan akan dijawab setelah siasatan selesai. Mohon beri ruang untuk pihak polis selesaikan siasatan. Terima kasih,” katanya. – KOSMO! ONLINE