GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengambil tindakan segera setelah mendapati feri Pulau Kapas yang ditambat di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH), Butterworth dekat sini karam awal pagi tadi.
Pengerusinya, Yeoh Soon Hin berkata, SPPP bertindak menambah tali mengikat feri (mooring lines) dan memasang iol boom bagi mencegah sebarang tumpahan minyak dari bilik enjin selepas laporan kejadiannya diterima pada pukul 3.26 pagi tadi.
“Feri yang ditambat di Dermaga 2, PSAH ini telah mengalami kebocoran dan tidak lagi boleh dibuat pembaikan. Penyiasatan yang telah dilaksanakan pada awal pagi mendapati feri Pulau Kapas karam separuh bahagian sahaja memandangkan air laut masih surut.
“SPPP telah mengambil tindakan segera dengan menambah tali mengikat feri (mooring lines), memasang iol boom bagi mencegah sebarang tumpahan minyak dari bilik enjin,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE