fbpx

Air mineral laku keras di Lembah Klang buat minum, mandi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Permintaan air mineral melonjak naik ekoran gangguan bekalan air di Kuala Lumpur dan Selangor berpunca daripada pencemaran bau di Sungai Kundang dan Sungai Sembah semalam.

Berikutan henti tugas di empat Loji Rawatan Air (LRA), tujuh wilayah Air Selangor iaitu Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan air sehingga ke hari ini.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati ramai penduduk di Lembah Klang ingin mendapatkan stok air mineral bagi menguruskan diri sementara menunggu bekalan pulih sepenuhnya.

Seorang wanita dikenali sebagai Anis, berkata bekalan air mineral di beberapa kedai di Bangsar habis diborong oleh penduduk sekitar kawasan tersebut.

“Habis semua orang borong air mineral kat Bangsar ni. Rak semua kosong,” ciapnya.

Sementara itu, seorang pengguna lain dikenali sebagai Faizal berkata dia terpaksa mandi menggunakan air mineral ekoran bekalan air di rumahnya masih belum pulih.

“Pagi ni terpaksa mandi guna air mineral. Nasib baik dah borong siap semalam,” ciapnya.

Dalam pada itu, seorang penduduk di Sungai Buloh dikenali sebagai Fatehah berkata, sejak semalam rata-rata kedai runcit dan pasar raya dipenuhi dengan orang ramai yang memborong air mineral.

“Sejak petang semalam orang ramai dah mula borong dekat semua kedai-kedai runcit atau pasar raya di kawasan Sungai Buloh.

“Hari ini bila tengok dekat rak, habis dah air mineral semua licin. Hanya tinggal air mineral yang sebotol kecil RM7 je. Harap bekalan air dapat pulih segera,” katanya kepada Kosmo!

Semalam, Air Selangor dalam kenyataannya berkata, gangguan bekalan air berpunca daripada sebuah kilang plastik menyebabkan bahan terjadual, Poly Methacrylic Acid (PMAA) bocor ke sungai.

Pencemaran itu mengakibatkan henti tugas sementara LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur Selangor, Izham Hashim pula berkata gangguan bekalan air di tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka pulih Jumaat ini.

“Pengagihan air membabitkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula jam 6 petang semalam manakala tiga SSP berkenaan pula pada jam 8 pagi hari ini.

“Kawasan kediaman yang mempunyai tekanan air rendah mungkin mengambil sedikit masa namun sebahagian besar pengguna akan mendapat bekalan air dalam tempoh 24 jam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI