PETALING JAYA – Enam suspek yang ditahan berkaitan kes kehilangan bahan api jenis kerosin JET-A1 di Pangkalan Udara Semenanjung, Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia, di sini dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, reman kesemua suspek termasuk tiga anggota polis berusia 31 hingga 55 tahun itu tamat, semalam.
“Kesemua suspek telah diberikan jamin polis setelah tempoh reman tamat.
“Setakat ini, polis sedang menunggu beberapa laporan daripada pihak bank sebelum menyerahkan kertas siasatan berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
21 Julai lalu, media melaporkan polis telah merakam percakapan sembilan saksi bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api berkenaan.
Tiada tangkapan terbaharu dan enam individu termasuk tiga anggota polis yang ditahan masih dalam tahanan reman.
18 Julai lalu, polis menahan enam individu termasuk tiga anggota polis berpangkat rendah bagi membantu siasatan berhubung kehilangan bahan api itu.
Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan bahan api berkenaan pada 15 Julai lalu.-KOSMO! ONLINE.