fbpx

Dunia catat hari paling panas pada Ahad lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA individu berjalan menggunakan payung ketika cuaca panas di Bandar Raya New York, Ahad lalu. - AFP

WASHINGTON – Ahad minggu lalu direkodkan sebagai hari paling panas di dunia yang pernah dicatatkan dalam sejarah, demikian menurut data awal daripada sebuah agensi pemantau suhu sejak pertengahan 1900-an.

Saluran berita CNN melaporkan, ia merupakan tahun kedua berturut-turut purata suhu global mencatatkan angka tinggi.

“Pada 21 Julai (Ahad) lalu, suhu berada pada paras 17.09 darjah Celsius dan merupakan hari paling panas di Bumi sejak sekurang-kurangnya pada 1940,” jelas data awal daripada Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah.

Purata suhu global biasanya memuncak semasa musim panas Hemisfera Utara, iaitu antara akhir Jun hingga awal Ogos.

Rekod hari paling panas itu dicatatkan apabila banyak negara mengalami gelombang haba yang berpanjangan. 

Walaupun berpandukan kepada data dari pertengahan abad ke-20, rekod suhu tersebut mewakili tempoh paling panas yang pernah dilihat di planet ini dalam sekurang-kurangnya 100,000 tahun.

“Apabila iklim terus memanas, kami pasti akan melihat rekod baharu dipecahkan pada bulan dan tahun akan datang.

“Rekod terbaharu ini benar-benar mengejutkan,” kata Pengarah Copernicus, Carlo Buontempo.

Suhu global turun naik berdasarkan kepada faktor semula jadi seperti musim, corak iklim berskala besar dan aktiviti matahari.

Ia juga disebabkan faktor luar semula jadi seperti pencemaran daripada aktiviti manusia, termasuk pembakaran bahan api fosil yang mendorong suhu planet meningkat secara berterusan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI