SHAH ALAM – Ingin menimang cahaya mata sendiri adalah antara sebab penyanyi popular, Yuna pulang ke Malaysia selepas hampir 15 tahun berkelana di Amerika Syarikat (AS).
Yuna atau nama lengkapnya, Yunalis Mat Zara’ai, 38, berkata, keinginan untuk memiliki zuriat sendiri sudah lama diimpikannya dengan suami, Adam Sinclair sejak enam tahun berkahwin.
“Memang saya dan Adam sudah lama inginkan cahaya mata. Kami sedang berusaha ke arah itu.
“Tetapi sebelum itu, kami nak buat ‘sarang’ di sini terlebih dahulu. Bina rumah sendiri dan pastikan keadaan betul-betul stabil.
“Kami pernah mencuba sebelum ini untuk dapatkan anak, tetapi belum ada rezeki. Nak buat macam mana? Jadi kami terus tunggu dengan tenang,” katanya ketika ditemui pada sesi fotografi kempen terbarunya bersama jenama Abu di sini, semalam.
Tambah pelantun lagu Dan Sebenarnya itu lagi, Malaysia adalah tempat terbaik untuk dia membina kehidupan berkeluarga.
“Kualiti kehidupan sebagai sebuah keluarga, lebih baik di Malaysia. Di sini rasa lebih selamat, ada sistem sokongan yang kuat daripada keluarga dan teman-teman,” ujarnya yang tidak gusar untuk memulakan kehidupan berkeluarga pada usia 40-an.
Berkongsi keterujaan terpilih sebagai wajah utama koleksi terbaharu Abu sempena Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2024 (KLFW), Yuna kini mahu memperkasakan jenama lokal yang disifatkannya setanding dengan jenama antarabangsa.
“Kita memiliki ramai pereka fesyen dan jenama yang hebat dan setanding dengan jenama antarabangsa.
“Sejak saya memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama dengan jenama-jenama mewah antarabangsa , saya mahu memperkasakan jenama lokal.
“Saya suka dengan koleksi terbaru Abu untuk KLFW tahun ini. Saya boleh bayangkan koleksi ini dipamerkan di ‘show room’ di Los Angeles ,” katanya lagi.
Sebelum ini, Yuna pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak lagi mahu memakai pakaian daripada jenama mewah antarabangsa yang dikaitkan dengan rejim zionis kerana solidaritinya terhadap Palestin. – KOSMO! ONLINE