fbpx

Gangguan bekalan air tujuh daerah selesai Jumaat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Izham Hashim pada sidang akhbar susulan henti tugas sementara empat LRA di bilik gerakan MTES malam ini. SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Gangguan bekalan air melibatkan jutaan pengguna di tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka selesai selewat-lewatnya pada Jumaat ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, empat loji rawatan air (LRA) yang dihenti tugas susulan insiden pencemaran bau di Sungai Kundang, Sungai Kuang dan Sungai Sembah kembali beroperasi bermula pukul 3 petang tadi.

Jelas beliau, LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (SPP1, SSP2 dan SPP3) beroperasi selepas bacaan 0 ton dicatatkan tiga kali berturut-turut.

“Justeru, pengagihan air melibatkan LRA Rantau Panjang mula dilaksanakan bermula pukul 6 petang tadi manakala tiga SSP pula seawal 8 pagi esok.

“Namun, proses pengagihan itu akan dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan dan kita jangka ia selesai sepenuhnya pada Jumaat ini,” katanya pada sidang akhbar khas di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini, malam ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan kira-kira 1.1 juta pengguna akaun di lebih 1,000 kawasan terjejas akibat henti tugas sementara empat LRA susulan insiden pencemaran bau.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan gangguan air tidak berjadual itu melibatkan daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Dalam pada itu, kata Izham, tindakan tegas akan dikenakan terhadap sebuah kilang pemprosesan plastik dan pepejal yang dikenal pasti menyebabkan pencemaran bau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual.

“Ia berikutan kebocoran tangki yang berlaku di premis itu menyebabkan bahan pencemar berjadual Poly Methacrylic Acid (PMAA) mengalir ke tiga batang sungai.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor turut sudah mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun kepada pemilik kilang berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, JAS dan LUAS akan meneruskan pemantauan di lokasi terlibat esok bagi memastikan pencemaran tidak berulang. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI