PETALING JAYA – Usahawan yang juga pempengaruh, Kieda Crepe meminta semua pelanggan yang membuat pembelian bajunya sempena jelajah Pahang untuk memulangkan semula dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan Kieda atau nama sebenarnya Siti Nur Khalieda Yusra di Facebook selepas menerima kecaman ekoran menggunakan logo rasmi Ultras Pahang iaitu Elephant Army (EA) pada baju yang dicetak tanpa kebenaran.
“Terima kasih semua yang support (sokong) dan bekerjasama dengan baik. ‘Refund’ (pulang) baju semula kepada kami, kami tanggung rugi.
“Kami tak mahu makan duit haram melalui logo orang sepertimana netizen komen. Kita nak cari rezeki yang berkat,” katanya semalam.
Dalam pada itu, suami Kieda iaitu Hilmi Zikri turut membuat permohonan maaf kepada EA kerana menggunakan logo berkenaan dan akui tidak tahu bahawa ia telah didaftarkan sejak tahun 2018.
Sementara itu, EA dalam kenyataan memaklumkan terdapat insiden penggunaan logo pihaknya secara tidak sah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, penjelasan itu bagi mengelakkan terjadinya salah faham dan usaha pengambilan untung yang berlawanan dengan prinsipnya.
“Kami amat menitikberatkan integriti simbol-simbol yang mewakili kami dan kami ingin menjelaskan tidak ada sebarang kerjasama antara jenama tersebut dengan pihak kami.
“Ingin kami tegaskan bahawa logo Elephant Army telah didaftarkan secara rasmi sebagai cap dagangan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia,” jelasnya.
Justeru, EA berkata, mana-mana pihak dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan logo sama ada sengaja atau tidak sengaja kerana menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 38, Akta Cap Dagangan 1976. – KOSMO! ONLINE.