LOS ANGELES – Jenama kasut sukan global, Adidas memohon maaf kepada rakan kongsinya, termasuk supermodel kelahiran Amerika Syarikat (AS) berketurunan Palestin, Bella Hadid, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Bella mengancam mengambil tindakan undang-undang berhubung kempen iklan jenama tersebut yang diilhamkan daripada Sukan Olimpik Munich di Jerman pada 1972.
“Kami memohon maaf atas sebarang kekecewaan atau kesedihan yang timbul kepada masyarakat di seluruh dunia,” kata wakil Adidas kepada portal berita hiburan TMZ dalam satu kenyataan.
“Kami membuat kesilapan yang tidak disengajakan. Kami juga memohon maaf kepada rakan kongsi kami, Bella Hadid, A$AP Nast, Jules Koundé dan lain-lain, atas sebarang kesan negatif pada mereka dan kami sedang menyemak semula kempen ini,” tambah jenama tersebut yang berpangkalan di Jerman.
Bella mengupah peguam untuk menangani apa yang dilihatnya sebagai kegagalan Adidas untuk menjelaskan secara terbuka kempen iklannya yang berpotensi dikaitkan dengan peristiwa melibatkan tawanan atlet Israel oleh pejuang Palestin di Sukan Olimpik pada 1972.
Kontroversi ini menyebabkan Adidas menyemak baki kempen iklan tersebut. – AGENSI