HAMPIR 15 tahun berpisah, penyanyi Rossa akhirnya membuka mulut tentang perceraiannya dengan pemain dram Padi, Yoyo satu ketika dahulu.
Katanya dia dimaklumkan bakal diceraikan ketika hendak menjayakan sebuah konsert di Kuala Lumpur. Pada waktu itu dia sedang bersiap-siap di bilik mekap sebelum tampil di pentas memulakan konsertnya.
“Sewaktu disolek peguam datang dan memberitahu aduan perceraian sudah sampai ke mahkamah,” ujarnya.
Akui Rossa lagi, konsert tersebut menjadi lebih sayu apabila dia menyampaikan lagu Hati Yang Kau Sakiti sambil menangis.
Kisah rumah tangganya dengan Yoyo atau Surendro Prasety itu dikongsikan pada sesi temu bual bersama Denny Sumargo.
Tambah Rossa, dia dan Yoyo sudah tinggal berasingan setahun sebelum perceraian difailkan.
Begitupun, kini hubungan mereka semakin baik selain lebih memberikan fokus terhadap anak tunggal, Rizky Langit Ramadan, 18 tahun. Rossa dan Yoyo bergelar suami isteri pada 2004, namun ikatan mereka hanya mampu bertahan selama lima tahun.