fbpx

Empat pemenang Piala Dunia taruhan Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALVAREZ (tengah) berada dalam keadaan terbaik ke Olimpik selepas baru sahaja membantu Argentina menjuarai Copa America 2024. - AFP

PARIS – Biarpun Argentina menyertai Sukan Olimpik tanpa bintangnya, Lionel Messi, tetapi peluang mereka tetap dilihat cerah untuk memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki pada edisi Paris 2024 kali ini.

Messi yang berusia 37 tahun, pernah membantu gergasi Amerika Selatan itu memenangi emas sewaktu edisi Beijing 2008, namun tidak akan mengambil bahagian di Paris kerana komitmen bersama kelabnya, Inter Miami.

Begitupun, ketua jurulatih Argentina, Javier Mascherano tetap mempunyai barisan terbaik dengan memanggil empat pemain daripada skuad yang menjuarai Piala Dunia Qatar 2022.

Ia termasuk penyerang sensasi Manchester City, Julian Alvarez, penjaga gol Ajax, Geronimo Rulli, tonggak pertahanan veteran Benfica, Nicolas Otamendi dan pemain tengah Atalanta, Thiago Almada.

Argentina yang memburu pingat emas ketiga selepas memenanginya pada 2004 dan 2008 akan membuka kempen kali ini menentang Maghribi dalam saingan Kumpulan B di Stade Geoffroy-Guichard, Saint-Etienne malam ini.

“Aksi pertama ini sangat penting dalam perjalanan kami untuk mencapai sasaran di pentas Olimpik. Namun, kami tidak boleh mengambil mudah kerana Maghribi adalah juara Afrika dan mempunyai ramai pemain berbakat.

“Jadi saya mahu pemain beraksi pada tahap sebenar kerana matlamat kami adalah menang setiap perlawanan dihadapi. Buat masa sekarang saya mahu mereka fokus kepada aksi pertama ini dahulu,” kata Mascherano.

Selain Argentina yang juga diundi dalam Kumpulan B bersama Iraq dan Ukraine, Perancis serta Sepanyol turut menjadi pasukan pilihan untuk menjuarai Olimpik kali ini.

Brazil yang menjuarai dua edisi terakhir pada 2016 dan 2020 gagal melayakkan diri ke Paris kali ini sekali gus membuka peluang buat Argentina untuk menyamai rekod Hungary serta Great Britain jika memenangi pingat emas ketiga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI