ALOR SETAR – Penahanan seorang duda dan rakannya membawa kepada rampasan 28 ketulan mampat dadah jenis ganja di dua lokasi berasingan di Taman Lumba Kuda dan kawasan Gunung, di sini pada Ahad dan Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menyerbu sebuah rumah dalam mukim Gunung pada pukul 2.55 petang, Ahad lalu.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang duda berusia 32 tahun yang merupakan seorang petani dan seorang lagi suspek lelaki berusia 22 tahun yang merupakan seorang penganggur.
“Hasil siasatan ke atas dua suspek itu, polis berjaya merampas 24 ketulan mampat ganja seberat 24.9 kilogram (kg) di sebuah rumah di Taman Lumba Kuda pada hari yang sama,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Setar, di sini hari ini.
Menurutnya, polis berjaya membuat rampasan sebanyak empat lagi ketulan mampat ganja lagi seberat 3.97 kg di kawasan Gunung pada keesokan harinya.
Katanya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan rumah yang diserbu itu dipercayai dijadikan lokasi transit pengedaran dadah dianggarkan bernilai RM90,000 itu.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah dengan suspek berusia 32 tahun mempunyai 12 rekod jenayah lampau kes dadah dan jenayah,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 28 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama. – KOSMO! ONLINE