MANCHESTER – Bintang Manchester United, Jadon Sancho dilapor menerima tawaran kontrak daripada sebuah pasukan gergasi Eropah dan hampir bersetuju dengan terma peribadi untuk menyertai pasukan tersebut.
Pemain berusia 24 tahun itu menyertai United pada musim panas 2021, namun bertelagah dengan pengendali pasukan, Erik Ten Hag musim lalu menyebabkan dia terpaksa dipinjamkan ke Borussia Dortmund sebelum kembali ke Carrington.
Hubungan bersama Ten Hag dilihat kembali pulih apabila diturunkan ketika menentang Rangers pada aksi pramusim Ahad lalu sekali gus ia dilihat sebagai petanda khidmatnya akan kembali digunakan musim depan.
Malah, Ten Hag juga memberi bayangan seakan mahu melupakan apa yang berlaku dan berharap Sancho mampu untuk memberikan aksi terbaik sebelum berita mengenai tawaran tersebut diperkatakan.
Gergasi Perancis, Paris Saint-Germain dilaporkan telah mengadakan rundingan bersama Sancho dan persetujuan mengenai terma peribadi dikatakan hampir menemui kata sepakat antara kedua-dua pihak.
Berdasarkan laporan, Sancho tertarik dengan projek PSG dalam memperkasakan pasukan itu selepas pemergian Kylian Mbappe, namun ketika ini nilai perpindahan pemain itu yang perlu diselesaikan melibatkan kedua-dua kelab.
United sebelum ini meletakkan tanda harga sekitar £40 juta (RM241.92 juta) untuk melepaskan pemain tersebut ketika dia masih berada dalam senarai pemain yang ingin dilepaskan. – AGENSI