IPOH – Rutin membaca kitab suci al-Quran dan Al-Ma’thurat sebelum memulakan hari menjadi amalan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, Amni Zafirah Shahril, 20.
Menurut anak kepada pasangan Shahril Ahrasa, 57, dan Pairus Jamaluddin, 54, amalan yang dilakukan hampir setiap hari itu membantunya lebih tenang dan fokus ketika sesi pembelajaran.
“Saya tiada rahsia khusus untuk berjaya cuma sebagai pelajar, sudah tentu saya amat menjaga hubungan dengan Allah. Saya akan pastikan hari saya dimulakan dengan bacaan al-Quran selain solat dhuha.
“Saya juga amat menitikberatkan hubungan baik dengan guru-guru dan rakan-rakan kerana mereka antara yang paling hampir dengan saya ketika di sekolah,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perutusan Keputusan Peperiksaan STPM 2023 di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini hari ini.
Amni Zafirah yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Azlan Shah itu antara 82 calon STPM 2023 di Perak yang meraih keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Sementara itu, mengulas mengenai cara belajar, Amni Zafirah memberitahu, dia akan memperuntukkan beberapa jam pada waktu malam untuk mengulangkaji semula subjek yang telah dipelajari pada waktu siang. – KOSMO! ONLINE