ALOR SETAR – “Ini bukan benda main-main, ia melibatkan keselamatan dan boleh membahayakan masyarakat awam. Jangan lakukan lagi, kalau hadapi kesalahan sama, saya akan bagi pemenjaraan maksimum.”
Demikian teguran Majistret, Muhammad Zul Hilmi B. Latif kepada dua penyokong pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dituduh memasang suar di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini pada Jumaat lalu.
Dua tertuduh iaitu Mohd Faizol Mohd Sapian, 27, dari Kota Tinggi, Johor dan Jalali Hamid, 47, dari Masai masing-masing didenda RM100 di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Majistret, Zul Hilmi turut memerintahkan mereka dipenjara 15 hari jika gagal membayar denda berkenaan.
Mohd Faizol yang bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan dan Jalali, seorang pemandu forklift membayar denda dikenakan.
Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Faizol dan Jalali didakwa memasang suar di pekarangan stadium tersebut kira-kira pukul 10.45 malam, 19 Julai lepas.
Pendakwaan ke atas dua tertuduh itu dilakukan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100 atau dipenjara maksimum sebulan atau kedua-duanya.
Sementara itu, seorang lagi penyokong pasukan bola sepak sama, Mohamad An’Naffi Sahid, 34, dari Bandar Baru Kangkar Pulai, Johor Bahru turut dihadapkan atas kesalahan sama di lokasi dan masa sama di Mahkamah Majistret berasingan, di sini hari ini.
Dia yang membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd Noor didenda RM100 dan diperintah dipenjara selama 14 hari jika gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh yang bekerja sebagai kerani membayar denda dikenakan. – KOSMO! ONLINE