fbpx

Hati-hati beli kereta terpakai, elak tertipu peniaga ‘terdesak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Individu yang berminat membeli kereta terpakai terutamanya dalam kategori kereta import terpakai (recond) dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran peniaga.

Keadaan itu berikutan pasaran kereta terpakai dilihat semakin tepu berbanding kenderaan baharu, sekali gus menyebabkan sesetengah peniaga terdesak menipu pembeli atau menawarkan jaminan tempoh waranti lebih panjang.

Ini termasuk meningkatkan perbatuan kepada 250,000 kilometer (km) atau umur kereta hingga 15 tahun selain melanjutkan waranti merangkumi komponen kritikal kritikal.

Menurut pengasas aplikasi SCRUT, Ts. Nik Muhammad Izwan Nik Mohd. Kamel, pihaknya sering mendapat aduan pengguna yang menjadi mangsa penipuan kereta ‘recond’ dan kereta terpakai tempatan sejak hari pertama aplikasi itu dilancarkan.

“Antara yang membuat aduan termasuklah pelakon Sofi Jikan yang hampir ditipu penjual ketika dia mahu membeli kenderaan terpakai di mana maklumat diberitahu penjual tidak sama selepas semakan dibuat melalui SCRUT.

“Kereta tersebut dikatakan merekodkan jumlah perbatuan 122,000 km dan tidak terlibat kemalangan, namun setelah disemak, jumlah perbatuan sebenar adalah 144,000 km yang direkodkan sejak 2019 selain terdapat rekod kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, masyarakat perlu cakna berhubung cara mengelakkan ditipu kapitalis jahat yang sudah lama menguasai pasaran dengan menipu masyarakat.

“Antaranya adalah dengan menggunakan aplikasi SCRUT untuk menyemak sejarah dan maklumat kereta yang hendak dibeli atau membawa kereta yang hendak dibeli ke bengkel kereta yang dipercayai untuk pemeriksaan,” jelasnya.

Dalam pada itu katanya, kerajaan turut melakukan tindakan baik apabila menaikkan nilai tuntutan di tribunal pengguna daripada RM20,000 ke RM50,000.

“Hal ini menyebabkan lebih ramai mangsa penipuan kereta terpakai bangkit menuntut hak mereka di tribunal kerana kerugian selama ini melebihi RM20,000 apabila ditipu penjual.

“Terdapat banyak tuntutan di tribunal pengguna telah dimenangi oleh pihak mangsa sejak pihaknya aktif memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI