KUALA LUMPUR – Terkesan dengan gejala buli siber yang semakin kronik, pempengaruh media sosial dan pelakon Mek Yun berharap akta baharu membabitkan tindakan pelaku kacau ganggu dalam media sosial dapat digubal serta segera diwartakan.
Ujar Mek Yun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee, 27, penguatkuasaan undang-undang yang ketat mampu menjadi amaran kepada orang ramai agar mengelak
diri daripada membuli individu lain.
“Sebagai pencipta konten, saya sebak apabila insan tidak berdosa kehilangan nyawa hanya disebabkan sikap tiada empati segelintir individu yang menjadi wira papan kekunci ini.
“Tidak dinafikan, kita semua terdedah kepada segala bentuk kecaman apabila memilih berkongsi hantaran dalam laman maya kerana kita tidak boleh kawal orang lain.
“Hanya penguatkuasaan undang-undang yang tegas terhadap pelaku terutama apabila membabitkan kematian sahaja mampu membuatkan pembuli berfikir dua kali sebelum meninggalkan kecaman atau ugutan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Wanita Tionghua yang fasih berdialek Kelantan itu turut mengakui pernah diejek bertubuh gemuk sehingga mengakibatkannya berusaha menurunkan berat badan.
Melihat kejian secara positif, setiap individu menerima teguran atau kritikan dengan cara berbeza terutama bagi mereka yang mempunyai masalah tekanan atau mental.
“Setiap orang berdepan komen dan kutukan dengan cara berbeza. Macam saya, walau geram berdepan ‘body shamming’, saya gunakan perkara tersebut sebagai pembakar semangat untuk kekal cergas.
“Saya akhirnya dapat ‘buang’ 14 kilogram lemak, tetapi selepas susut ada pula individu tegur peha saya besar.
“Mungkin komen sebegitu biasa sahaja, tetapi netizen tak sedar kata-kata itu mungkin boleh memberi impak buruk kepada seseorang. Jadi fikirlah dua kali sebelum tinggalkan komen mengguris hati,” katanya selepas pelancaran drama rantaian Perang Nasi Padang, baru-baru ini.
Berkongsi lakonannya dalam drama arahan Issey Fazlisham itu, dia mengakui teruja bergandingan dengan ramai bintang hebat termasuk Sabri Yunus dan Nora Danish.
Terdahulu, seorang pempengaruh yang popular di aplikasi TikTok ditemui mati akibat diganggu serta diugut pembuli siber.
Mayat pempengaruh wanita dikenali sebagai Esha, 29, itu meninggal dunia di rumahnya pada 5 Julai lalu.
Insiden tersebut mendapatkan perhatian Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang membawa isu buli siber di dalam mesyuarat kabinet. – KOSMO! ONLINE