SEREMBAN – Polis mengesahkan seorang gadis yang didakwa tidak pulang ke rumahnya sejak Isnin lalu telah selamat pulang ke pangkuan keluarga.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, Noraziah Abd. Manaf hadir secara sukarela ke balai polis pada pukul 12 tengah malam tadi bagi memaklumkan telah pulang ke rumah.
Menurutnya, gadis berusia 25 tahun itu menyatakan dia pergi ke Batu Berendam, Melaka bagi mencari pekerjaan.
“Polis mengesahkan wanita yang hilang telah dijumpai dalam keadaan baik dan selamat. Dia dipercayai keluar mencari pekerjaan dan telah pulang ke pangkuan keluarga,” katanya hari ini.
Terdahulu, hebahan kehilangan gadis itu menjadi tular di media sosial sejak Jumaat lalu memaklumkan Noraziah tidak pulang ke rumah keluarganya di Senawang.
Talian telefon anak tunggal perempuan itu juga tidak aktif membuatkan keluarganya bimbang.- KOSMO! ONLINE