MARANG – Seorang bakal pengantin lelaki yang dijadual bernikah pada pagi ini dikhuatiri lemas selepas mandi di Pantai Kelulut di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.40 petang itu, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dikatakan telah ditarik ombak besar ketika mandi di pantai berkenaan.
Difahamkan mangsa yang bakal bernikah dengan pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, menginap di sebuah resort tidak jauh dari Pantai Kelulut bersama ahli keluarga yang berasal dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur sejak kelmarin.
Bapa bakal pengantin perempuan, Ismail Awang, 61, berkata, Naim Hariri dan anak perempuannya dijadual bernikah di kediamannya di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, Marang pada pukul 10 pagi ini.
“Saya sedang memasang khemah untuk majlis pernikahan tersebut sebelum dimaklumkan anak saya (Fatin Nabilah Huda) tentang kejadian menimpa tunangnya.
“Kami bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas solat Maghrib dan bertemu dengan keluarga bakal besan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Ismail memberitahu, anak perempuannya, Fatin Nabilah Huda dan Naim Hariri telah bertunang sebulan lalu setelah berkenalan sejak beberapa tahun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan sementara pada tengah malam tadi masih belum dapat menemui mangsa.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat yang akan dimulakan kembali pada pukul 8 pagi ini akan memberi fokus kepada kawasan pesisir pantai dengan keluasan sehingga tiga kilometer dari lokasi mangsa hilang.
“Keadaan laut yang bergelora dan ombak kuat merupakan cabaran besar dalam usahan untuk mencari dan penyelamat mangsa ini.
“Sebelum ini, orang ramai telah diingatkan agar menjauhi kawasan pantai di Terengganu sepanjang musim tengkujuh ini kerana ia tidak selamat untuk sebarang aktiviti air,” katanya. – K! ONLINE