BALING – Permintaan seorang remaja perempuan untuk makan malam bersama keluarga di sebuah kedai sempat dipenuhi sebelum dia maut dalam kemalangan di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Siti Umairah Alias, 18, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada muka dan kepala.
Kejadian berlaku ketika pelajar tingkatan enam itu dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baling.
Menurut bapa saudaranya, Mohd. Zulkifli Mohd Yusuf, 40, arwah bersungguh-sungguh mengajaknya dan ibu serta bapa tiri untuk makan di sebuah kedai dekat SMK Bongor.
“Arwah teringin makan char kuetiau dan malam itu memang kami makan bersama. Tidak sangka ia kenangan terakhir bersama,” katanya hari ini.
Jelasnya, arwah beberapa kali mengajaknya keluar makan dan cuma semalam baru berkesempatan berbuat demikian.
“Kemalangan itu juga berlaku tidak jauh dari kedai makan yang kami pergi,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian yang melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kereta yang berlaku berdekatan SMK Bongor.
Siasatan awal di lokasi mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Ego Solariz dari arah sama dengan seorang lagi penunggang motosikal Modenas Kriss warga Indonesia, manakala kereta Perodua Myvi pula dari arah bertentangan.
“Setibanya di lokasi, warga asing itu yang berada di hadapan secara tiba-tiba mengubah haluan ke kanan untuk membelok masuk ke simpang.
“Tindakan itu menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu bergesel di bahagian kanan motosikal seterusnya bertembung dengan kanan kereta,” katanya.- KOSMO! ONLINE