KUALA LUMPUR – Kesemua pelajar Malaysia yang terkesan susulan protes yang memuncak di Bangladesh bakal dibawa pulang ke tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil untuk keselamatan pelajar Malaysia susulan rusuhan yang bertambah getir pada ketika ini.
“Kalau tengok setakat ini, kalau tengok keselamatan, anak-anak Malaysia menjadi keutamaan kita.
“Jadi kalau hari pertama nampak keadaan terkawal, namun keadaan sekarang (maklumat Kedutaaan Malaysia di Bangladesh) lebih sesuai untuk untuk dibawa pulang,” katanya ketika ditemui pada majlis Perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan mahu membawa pulang semua pelajar Malaysia yang terkandas susulan protes semakin memuncak di Bangladesh pada ketika ini.
Dalam pada itu, Anwar memberitahu, Kementerian Luar akan mengadakan mesyuarat termasuk berhubung keperluan menyewa pesawat untuk membawa pulang pelajar terlibat.
Katanya, kerajaan akan membantu semua pelajar tanpa mengira bantuan kerajaan atau tanggungan swasta.
“Menteri Luar beritahu sejak semalam dan pagi tadi, mengikuti perkembangan muktahir di Bangladesh dan nampak keadaan itu menbimbangkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan beribu-ribu pelajar Bangladesh berdemonstrasi sejak Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan kerajaan yang dimansuhkan pada 2018.
Pelajar-pelajar tersebut menuntut dihentikan sistem kuota yang memperuntukkan 30 peratus pekerjaan dalam sektor awam untuk ahli keluarga veteran yang berjuang dalam perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.
Aksi tunjuk perasaan semakin memuncak apabila berlaku kematian dalam kalangan peserta protes, malah, situasi menjadi lebih tragis apabila angka kematian terus meningkat dengan kematian tertinggi direkodkan pada Khamis.- KOSMO! ONLINE