PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk membawa pulang kesemua warga Malaysia yang terkandas di Bangladesh susulan situasi rusuhan ganas buruk di negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau sudah menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberikan kelulusan agar pelan evakuasi dilaksanakan.
“Pagi tadi saya telah bercakap menerusi telefon dengan beliau yang mengarahkan supaya rancangan bawa balik disegerakan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Putra hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi pertemuan khas dengan sekumpulan ibu bapa pelajar Malaysia di negara itu selama sejam yang diketuai Mejar Jeneral (Bersara) Nubli Hashim.
Ketegangan di Bangladesh tercetus ekoran bantahan ribuan pelajar terhadap keputusan Mahkamah Agung yang menetapkan kuota pekerjaan sektor kerajaan pada 5 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE