SEBERANG PERAI – Pasukan penyelamat mengambil masa hampir 10 jam untuk mengawal dan memadamkan kebakaran yang berlaku di tapak pelupusan sampah di Sungai Burung, Nibong Tebal di sini, semalam.
Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’Ng Mooi Lye berkata, operasi itu melibatkan seramai 117 keanggotaan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, pasukan bomba sukarela dan petugas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Menurutnya, kejadian itu dilaporkan berlaku pukul 12.05 tengah hari semalam dan tindakan pemadaman awal dijalankan kakitangan MBSP, namun keadaan cuaca yang berangin kencang telah menyukarkan operasi memadamkan kebakaran.
“Tindakan awal yang dilaksanakan pihak bomba adalah dengan membuat kawalan secara water curtain supaya kebakaran tidak terus merebak ke kawasan lain selain melakukan kaedah penggemburan sisa dan semburan air.
“Api berjaya dikawal kira-kira pukul 5.23 petang di kawasan seluas 3,500 meter persegi dan punca kejadian dipercayai akibat daripada cuaca panas yang berlarutan,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 11 malam tadi dan langkah-langkah pencegahan termasuk penyediaan lori tangki di tapak pelupusan itu akan dilaksanakan oleh MBSP agar kejadian sama tidak berulang.
Pada Januari 2022, media melaporkan kawasan seluas hampir tujuh hektar dari keseluruhan kawasan berkeluasan 16.2 hektar di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung terbakar dan memaksa 400 penduduk di kawasan berdekatan berpindah ke dua pusat pemindahan sementara (PPS). -KOSMO! ONLINE