ALOR GAJAH – Seorang kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggang terlibat dalam nahas di Kilometer 213.2 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Mohd. Firdaus Md. Ramli, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian perut dan kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha MT-09 Tracer dalam perjalanan dari arah utara menuju ke selatan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan dengan jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti. Mangsa yang terjatuh kemudian telah digilis oleh kenderaan tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, separuh anggota badan mangsa hancur dari bahagian perut hingga kaki,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Ashari, siasatan di lokasi nahas mendapati kejadian berlaku di jalan tiga lorong, kering dan gelap serta terdapat kesan calar pada permukaan jalan.
“Polis sedang mengesan saksi bebas yang melihat kejadian. Kenderaan terlibat akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemerikaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE